sebentar tadi aku dihubung oleh seorang rakan karib – rakan lama – cukup lama aku kenali - aku namakan SB – SB tengelam timbul dalam hidup aku
aku kira hampir 10 tahun aku tidak pernah bersua dengan SB – kali terakhir di bazar ramadhan – di kala itu aku dan SB bertukar nombor talifon
aku dan SB rapat seperti saudara sekandung sedikit masa dahulu – berkongsi kesukaran dan kesempitan ketika memulakan kehidupan di tempat orang
kami sama bersekolah rendah – begitu juga di sekolah menengah – cuma berpisah sementara apabila aku ke sekolah teknik – SB pula masih di sekolah lama – tetapi apabila aku ke tingkatan 6 di sekolah lama – kami ditemukan kembali di dalam satu kelas – kami juga sekelas semasa menuntut di politeknik – dan tinggal serumah semasa bekerja di taiping
dengan kata lain dari usia 7 tahun – aku telah mengenali SB – sehinggalah melewati usia kini
tahun yang memisahkan aku dengan SB adalah pada 1992 – waktu itu usia kami di awal 20’an - SB menerima tawaran melanjutkan pengajian di Canada – dan aku – masih setia dengan pekerjaan ketika itu
jujur aku katakan – SB pencetus untuk aku menyambung pengajian – aku terlalu sunyi ketika SB tidak ada ketika itu – sunyi dan terlalu sunyi
dalam hati aku berkata – jika SB mampu untuk meneruskan pengajian – mengapa tidak aku
dan setahun selepas SB berangkat ke Canada – aku turut jejak langkah menyambung pengajian ijazah aku – walaupun tidak di luar negara
selama 2 tahun aku dan SB tinggal bersama – banyak yang kamu lalui – dari kegembiraan sehinggalah kepada kedukaan – masih aku ingat - kami pernah kesempitan kewangan – makan sekadar termampu
tak mungkin aku lupa sehingga ke akhir hayat – tentang rokok - semasa gaji pertama belum diperolehi – aku tiada duit untuk membeli rokok – tetapi setiap malam aku boleh menghisap rokok – ini simpati SB
SB akan kumpulkan rokok dari rakan sekerja setiap hari – dan dibawa balik kerumah di waktu petang – supaya aku tidak ketandusan rokok di waktu malam - walaupun SB bukannya perokok
di rumah kami - cuma ada sebuah radio buruk – untuk elak kesunyian - gaji pertama kami berkongsi membeli TV – Sanyo 14 inci - dan – TV tersebut masih lagi berfungsi sehingga kini –dan ada pada aku – aku pun tidak pasti samada hutang TV tersebut telah aku langsaikan sepenuhnya pada SB – prinsip kami mudah – siapa yang kena tinggal akhir sekali di rumah sewa– semua barang milik berkongsi akan menjadi hal yang kena tinggal – tetapi kena bayar separuh harga – dan yang kena tinggal adalah aku – maka aku kena langsaikan bayaran separuh kepada SB – mungkin nanti bila aku bersua dengan SB - akan aku soal kembali
SB miliki motor RXZ – dan – SB pantang dicabar – aku pernah melakukan aksi berpusing – hanya kerana SB membrek mengejut – selepas mengejar sebuah motor yang asyik mem”rem” dari persimpangan traffic light - berpusing aku dari tempat pembonceng ke hadapan motosikal – aku tidak jatuh sebaliknya tegap berdiri selepas berpusing – dan - akibatnya 2 hari aku tidak boleh berjalan – kaki membengkak – dan SB - terseret atas jalan – calar balar sebelah badan – puas pulak menyapu ubat
di paha kiri aku ada parut panjang – ini pun akibat daripada SB – kami main kejar kejar dalam rumah – bergurau sambil tarik kain tuala – akibatnya aku terjatuh atas timba yang telah sumbing di dalam bilik air – tersiat kulit paha aku – parutnya kekal hingga kini
ini hanya secebis kenangan kecil antara aku dan SB
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
terkejut dan terkedu apabila SB maklumkan dia di diagnosis ada kanser – besar sungguh cubaan Allah kepadanya – rawatan demi rawatan di laluinya – dan kini hampir beransur pulih - katanya
doa dan harapan aku kepada SB – semoga SB tabah dengan ujian dari Allah – sesungguhnya Allah memberi cubaan dan dugaan kepada hamba hamba yang dikasihiNya
bersabarlah saudara ku