28 May 2013

Bersabarlah Saudaraku


sebentar tadi aku dihubung oleh seorang rakan karib – rakan lama – cukup lama aku kenali - aku namakan SB – SB tengelam timbul dalam hidup aku

aku kira hampir 10 tahun aku tidak pernah bersua dengan SB – kali terakhir di bazar ramadhan – di kala itu aku dan SB bertukar nombor talifon

aku dan SB rapat seperti saudara sekandung sedikit masa dahulu – berkongsi kesukaran dan kesempitan ketika memulakan kehidupan di tempat orang

kami sama bersekolah rendah – begitu juga di sekolah menengah – cuma berpisah sementara apabila aku ke sekolah teknik – SB pula masih di sekolah lama – tetapi apabila aku ke tingkatan 6 di sekolah lama – kami ditemukan kembali di dalam satu kelas – kami juga sekelas semasa menuntut di politeknik – dan tinggal serumah semasa bekerja di taiping

dengan kata lain dari usia 7 tahun – aku telah mengenali SB – sehinggalah melewati usia kini

tahun yang memisahkan aku dengan SB adalah pada 1992 – waktu itu usia kami di awal 20’an - SB menerima tawaran melanjutkan pengajian di Canada – dan aku – masih setia dengan pekerjaan ketika itu

jujur aku katakan – SB pencetus untuk aku menyambung pengajian – aku terlalu sunyi ketika SB tidak ada ketika itu – sunyi dan terlalu sunyi

dalam hati aku berkata – jika SB mampu untuk meneruskan pengajian – mengapa tidak aku

dan setahun selepas SB berangkat ke Canada – aku turut jejak langkah menyambung pengajian ijazah aku – walaupun tidak di luar negara  




terlalu banyak kenangan bersama semasa tinggal serumah di taiping – aku tinggal berdua dengan SB selepas Brader (seorang lagi rakan serumah) terlebih dahulu melangkah keluar kerana mendapat tawaran kerja lebih baik

selama 2 tahun aku dan SB tinggal bersama – banyak yang kamu lalui – dari kegembiraan sehinggalah kepada kedukaan – masih aku ingat - kami pernah kesempitan kewangan – makan sekadar termampu

tak mungkin aku lupa sehingga ke akhir hayat – tentang rokok - semasa gaji pertama belum diperolehi – aku tiada duit untuk membeli rokok – tetapi setiap malam aku boleh menghisap rokok – ini simpati SB

SB akan kumpulkan rokok dari rakan sekerja setiap hari – dan dibawa balik kerumah di waktu petang – supaya aku tidak ketandusan rokok di waktu malam -  walaupun SB bukannya perokok

di rumah kami - cuma ada sebuah radio buruk – untuk elak kesunyian - gaji pertama kami berkongsi membeli TV – Sanyo 14 inci - dan – TV tersebut masih lagi berfungsi  sehingga kini –dan ada pada aku – aku pun tidak pasti samada hutang TV tersebut telah aku langsaikan sepenuhnya pada SB – prinsip kami mudah – siapa yang kena tinggal akhir sekali di rumah sewa– semua barang milik berkongsi akan menjadi hal yang kena tinggal – tetapi kena bayar separuh harga – dan yang kena tinggal adalah aku – maka aku kena langsaikan bayaran separuh kepada SB – mungkin nanti bila aku bersua dengan SB - akan aku soal kembali

SB miliki motor RXZ – dan – SB pantang dicabar – aku pernah melakukan aksi berpusing – hanya kerana SB membrek mengejut – selepas mengejar sebuah motor yang asyik mem”rem” dari persimpangan traffic light - berpusing aku dari tempat pembonceng ke hadapan motosikal – aku tidak jatuh sebaliknya tegap berdiri selepas berpusing – dan - akibatnya 2 hari aku tidak boleh berjalan – kaki membengkak – dan SB - terseret atas jalan – calar balar sebelah badan – puas pulak menyapu ubat

di paha kiri aku ada parut panjang – ini pun akibat daripada SB – kami main kejar kejar dalam rumah – bergurau sambil tarik kain tuala – akibatnya aku terjatuh atas timba yang telah sumbing di dalam bilik air – tersiat kulit paha aku – parutnya kekal hingga kini

ini hanya secebis kenangan kecil antara aku dan SB

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


tadi kami berbual panjang – dari hal keluarga sehingga pekerjaan – dan tidak ketinggalan - kesihatan

terkejut dan terkedu apabila SB maklumkan dia di diagnosis ada kanser – besar sungguh cubaan Allah kepadanya – rawatan demi rawatan di laluinya – dan kini hampir beransur pulih - katanya

doa dan harapan aku kepada SB – semoga SB tabah dengan ujian dari Allah – sesungguhnya Allah memberi cubaan dan dugaan kepada hamba hamba yang dikasihiNya

bersabarlah saudara ku 


No comments:

Post a Comment