28 September 2013

PhD : 11 tahun mencari kesempurnaan




Membaca buku PhD Kecil tapi Signifikan nukilan Dr Muhd Kamil Ibrahim – memberi motivasi di dalam menempuh liku bergelar pelajar PhD



Dari buku ini - apa yang boleh disimpulkan  - Tidak mustahil untuk berjaya – tidak mustahil untuk mengenggam segulung PhD.

Tercatat di dalam buku ini menceritakan tentang seorang Ustaz yang menghabiskan masa selama 11 tahun untuk menamatkan pengajian PhD. Bukannya beliau tidak fokus kepada pengajian – bukannya beliau tidak memberi komitmen – tetapi demi mencari kesempurnaan – maka – beliau bersabar untuk menamatkan pengajiannya selama 11 tahun.

Ini kisah beliau

Saya bermula tanpa pengetahuan bidang, tetapi berniat untuk belajar dan lulus. Hubungan dengan penyelia tidak mendatangkan sebarang masalah. Pada pendapat saya, bidang penyelidikan yang dipilih tersangat sukar dan memerlukan saya bekerja keras. Dalam proses tersebut, setiap kali saya menghantar tulisan kepada penyelia, ia akan memotong separuh. Ia berlaku berulang-ulang. Saya pula menggunakan mesin taip untuk melakukan kerja-kerja penulisan dan pembetulan semula. Pandangan saya terhadap penyelidikan dan kerja-kerja penulisan jelas – saya mahu yang terbaik – kesanggupan untuk melakukan sesuatu sehingga benar-benar memuaskan hati saya.
Draf tesis saya telah ditolak sebanyak tiga kali. Bayangkanlah bagaimana saya terpaksa membuat pelbagai perubahan besar setiap kali tesis saya tidak diterima. Hidup saya sentiasa dipenuhi buku-buku yang kadang kala membuat rakan-rakan rapat risau dan mahu saya melupakan PhD. Salah seorang daripada mereka pernah berkata: “Saya takut melihat keadaan ustaz dan saya fikir ustaz perlu mempertimbangkan cadangan untuk berhenti daripada meneruskan pengajian. Bagaimanapun jawapan saya?: “Jika kamu bercakap macam itu, saya tidak suka. Saya tidak mahu dengar. Saya akan belajar sehingga lulus dan berjaya”.

Ketabahan dan mencari kesempurnaan yang membawa beliau berjaya. Aku kira orang sebegini mempunyai kualiti di dalam kehidupan.

Di dalam buku PhD Kecil tapi Signifikan turut di hidangkan dengan kejayaan. Penulis sendiri berjaya menamatkan PhD dalam jangkamasa 24 bulan sahaja. Bagi aku buku ini boleh di jadikan bahan motivasi semasa menghadapi kesukaran.

Baca dan ambil iktibar

Harapan - Semoga aku diberi ketabahan serta kekuatan menempuh pengajian aku dengan jayanya mengikut kepada seperti yang di rancang. AaMiinn


10 September 2013

parit raja - nasi ambeng - telur pindang


berbual bersama rakan di meja kedai kopi - tersingkap cerita tentang nasi ambeng – makanan yang belasan tahun aku tidak rasai – dan bila terkenangkan nasi ambeng – fikiran aku selari dengan - parit raja



@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

2 Jan 1994 – kali pertama aku menjejakkan kaki ke batu pahat – dan kali pertama juga aku sampai ke negeri johor

perjalanannya panjang sekali – perjalanan menuntut ilmu – perjalanan bersama abah dan mama

pada ketika itu lebuhraya utara selatan masih dalam pembinaan - menaiki bas dari sungai petani pada pukul 6 petang 1 jan 1994 – dan sampai di batu pahat pada jam 6 pagi 2 jan 1994 –  jelas di minda – bas berhenti seketika  di taiping – untuk makan malam dan aku tidak ingat lagi dimana perhentian seterusnya – aku lebih selesa tidur dari turun makan - entah berapa kali aku tertidur dan terbangun - namun – masih kukuh di ingatan - bas berhenti di muar buat seketika  – dan seterusnya menyusuri jalan lama sehingga ke batu pahat

tiba di batu pahat – sewaktu azan subuh berkumandang – dari batu pahat – menyambung perjalanan ke parit raja – juga dengan bas - bas berwarna merah – namanya aku telah lupa

berkelana ke parit raja – mencari dan menuntut ilmu – disinilah segalanya bermula – di sinilah turning point hidup aku – di sini jugalah aku diuji dengan bebanan sebagai seorang pelajar – di sini career aku bermula – di sini jugalah aku menuntut ilmu dengan sebilangan pensyarah mat saleh –  aku dan rakan rakan adalah batch pertama PLSP – kemudian di tukar nama kepada ITTHO – Kuittho – dan kini UTHM – namun semasa meninggalkan parit raja – kami adalah pelajar ITTHO (UTM)

parit raja – unik bagi aku – di kelilingi dengan ladang kelapa sawit - mempunyai banyak kampung bermula dengan parit – dan aku telah terlupa dengan nama nama kampung yang bermula dengan parit ini – yang diingati parit haji rais

di diami oleh kebanyakan dengan orang jawa – mereka ramah – walaupun mempunyai perwatakan yang agak kasar – satu keistimewaan orang jawa – seusai sembahyang mereka akan bersalaman dengan semua orang yang berada di sekeliling mereka – sebab itu mereka mempunyai ikatan ukhwah yang tinggi

keistimewaan makanan di parit raja adalah pisang goreng  – dicicah dengan sambal kicap bercampur dengan tauhu hancur – selepas aku meninggalkan parit raja – tidak pernah lagi aku bertemu dengan pisang goreng bercicah ini

paling mahsyur adalah nasi ambengtelur pindang – dan tempe



nasi ambeng dan telur pindang– dan bertahun aku tidak merasainya

aku mula mengenali nasi ambeng – semasa menghadiri majlis aqiqah anak rakan – dan – apa jua majlis yang aku ikuti semasa di parit raja – pasti ada nasi ambeng

parit raja - terkenal dengan hasil kampung – rempeyek - pisang salai dan beraneka kerepek

hidup di parit raja terkadang mendatangkan masalah bagi aku - aku pengemar kari – pastinya asam pedas yang di kenali sebagai kari di parit raja tidak kena dengan tekak aku - selama 3 tahun – kebanyakan menu makanan aku adalah nasi goreng di waktu malam dan nasi ayam di waktu siang

parit raja kini - pasti berbeza dari 19 tahun dahulu – kali terakhir aku ke parit raja tahun 2002 – sewaktu menghantar adik aku belajar di UTHM

kemungkinan parit raja aku aku lawati lagi –mencari nasi ambeng dan telur pindang - tapi kali ini berkemungkinan bersama anak anak -  in shaa allah